Baju kurung ialah pakaian tradisional untuk wanita Melayu. Baju
Kurung terbahagi kepada dua iaitu Baju Kurung Lelaki dan Baju Kurung Perempuan.
Baju Kurung lelaki juga dikenali juga sebagai Baju Melayu. Ia menjadi pakaian
rasmi untuk negara Malaysia dan Brunei, juga boleh didapati di Indonesia,
Singapura dan Thailand. Terdapat dua jenis baju kurung iaitu Baju Kurung Teluk
Belanga dan Baju Kurung Cekak Musang. Baju ini sesuai dipakai oleh semua golongan
masyarakat tidak mengira usia. Baju Kurung juga digunakan untuk menghadiri
majlis perkahwinan, majlis agama, dan majlis rasmi. Di Malaysia, secara amnya
seluruh wanita melayu memakai baju kurung sebagai pakaian tradisi ini termasuk
pakaian rasmi pelajar sekolah rendah dan menengah. Cuma reka bentuk dan
potongan baju kurung agak berbeza-beza mengikut negeri.
Selaras dengan peredaran zaman, kini pelbagai busana rekaan moden
telah muncul dan diterima oleh masyarakat Melayu. Sungguhpun pada umumnya kita
telah menerima pengaruh moden dalam pakaian harian, namun baju kurung tetap
menjadi pilihan kaum wanita untuk digayakan. Bezanya, rekaan baju kurung
sekarang lebih kontemporari tetapi masih mengekalkan ciri-ciri keasliannya.
Selain terdapat perubahan pada potongan dan bentuknya, untuk
menghasilkan rekaan yang lebih moden dan kreatif, baju kurung juga dihiasi
dengan sulaman, kerawang, manik mahupun labuci. Material untuk menghasilkan
baju kurung juga turut berubah. Kini, terdapat pelbagai pilihan material antaranya
satin, organza, chiffon, sutera, batik, linen dan banyak lagi. Perubahan ini
dilakukan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa atau majlis yang hendak
dihadiri selain cuba meniru gaya potongan asing yang mungkin bertujuan untuk
kelihatan lebih anggun. Kini terdapat pelbagai variasi baju kurung dan ia
dikenali sebagai Baju Kurung Moden.
Walaupun baju kurung telah mengalami evolusi selaras dengan
perubahan masa dan citarasa pemakai, namun rekaannya masih sama. Ia tetap
selesa dan manis dipakai selain menampakkan kesopanan gadis Timur dan
keunggulan budaya Melayu.

No comments:
Post a Comment